KUMPULAN 9
HUBUNGAN ETNIK
MPU3113
E-PORTFOLIO
KITA ANAK MALAYSIA
DISEDIAKAN OLEH KUMPULAN 9
PENGENALAN
Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, misalnya, bangsa Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan sebagainya. Namun begitu, rakyat Malaysia masih dapat hidup bersama secara aman damai tanpa mengira bangsa mahupun etnik, sub-etnik dan kebudayaan antara satu sama lain. Hal ini demikian kerana rakyat kita saling hormat-menghormati dan sentiasa berpegang kepada kata-kata hikmah bersekutu bertambah mutu. Perpaduan antara pelbagai etnik merupakan elemen yang tidak boleh diabaikan dalam memajukan dan membangunkan Malaysia bak kata peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh.
Antara unsur penting untuk membentuk nilai perpaduan dan mengeratkan hubungan dalam rakyat yang berbilang kaum adalah, bersikap terbuka di antara satu sama lain dan memahami kebudayaan rakyat kaum lain. Sejak dari kecil lagi, anak Malaysia sering menyambut hari perayaan bersama-sama dan ini telah menjadi sebuah budaya yang unik dalam negara kita. Malangnya, sejak pandemik Covid-19 berlaku, ia telah mengubah kehidupan harian rakyat serta penyambutan perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Hari Gawai, Pesta Kaamatan dan lain-lain lagi. Sejak pelaksanaan SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan, pelbagai aktiviti tidak dibenarkan semasa penyambutan perayaan. Antaranya seperti, balik kampung, aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah saudara mara atau sahabat handai, persembahan dan sebagainya.
Oleh itu, kumpulan kami ingin menghasilkan sebuah video yang bertemakan ‘Kita Anak Malaysia’ dan bertajuk Jom Berkongsi Raya untuk memperkenalkan cara-cara rakyat Malaysia menyambut perayaan semasa pandemik Covid-19. Tujuan kami adalah untuk meningkatkan kefahaman antara etnik dalam kalangan remaja serta mengeratkan hubungan etnik di negara kita. Tambahan pula, ramai golongan muda sudah tidak mementingkan lagi akan adat bangsa sendiri. Bak kata pepatah, biar mati anak, jangan mati adat, golongan muda yang merupakan harapan negara dan yang akan memikul beban tanggung jawab dalam mencapai wawasan negara pada masa depan haruslah tidak boleh melupakan adat sendiri, kerana fenomena ini dapat disama ertikan seperti kacang lupakan kulit.
Video kami akan mengisahkan cerita tentang empat orang kawan karib yang berasa kecewa kerana mereka tidak dapat menyambut perayaan bersama-sama dan bagaimana mereka mengatasi masalah tersebut semasa pandemik Covid-19 berlaku. Selain itu, video ini juga akan memperkenalkan kebudayaan orang Cina dan orang Kadazan dalam penyambutan perayaan mereka melalui cerita-cerita yang menarik. Tambahan pula, video kami akan ditunjukkan secara laporan berita harian televisyen dan di sini kami juga akan mengadakan perbualan tentang isu-isu yang dihadapi semasa meraikan perayaan pada musim MCO.